PENGENALAN KEPADA ISU BERKAITAN SIKAP GURU


MOHD. ASRI BIN MD. TAHA

Bidang perguruan ialah satu profesion yang bermatlamat pembentukan insan dan ihsan manusia yang sempurna seperti mana yang telah digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan untuk membentuk modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.  Definisi guru itu bukanlah sahaja membawa maksud orang yang mengajar, pendidik, pengajar, dan pengasuh. Malahan ruang lingkup tugas guru itu juga meliputi pembentukan akhlak, tingkah laku yang baik, perasaan kasih sayang, prihatin, semangat patriotik, nilai-nilai murni, hubungan dengan Allah, manusia dan alam sekitar ( Mahdi Shuid et all, 2010).

Guru bertanggungjawab mengembangkan potensi menyeluruh dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi, serta mendidik murid-murid dengan menggunakan kemahiran dan pengetahuan sedia ada seorang guru untuk dikongsikan atau diterapkan dalam diri para pelajar.  Sikap guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran mempengaruhi suasana di bilik darjah kerana proses PdP yang dijalankan berkait rapat dengan sikap seorang guru dalam membentuk suasana pembelajaran di bilik darjah.  Ini adalah kerana, menurut Gages dan Liner (1991)  mendefinisikan pembelajaran sebagai proses yang membawa kepada perubahan tingkah laku hasil daripada pengalaman dan latihan. 

Guru yang profesional akan sentiasa mempamerkan ciri-ciri kekuatan ilmu dan bertingkah-laku dengan keluhuran etika serta menuntut kefahaman yang jelas dan mendalam, kesungguhan dan komitmen yang tinggi dalam tugas.  Guru yang berjiwa waja tidak mudah mengaku kalah dalam kehidupan kerjayanya di sekolah dan mempunyai sikap optimis dalam semua tindakan serta sedia belajar daripada kesilapan dan kelemahan. 

Sikap positif guru dituntut bagi memenuhi etika kepimpinan guru yang mengkhendaki semua guru (1) menjalankan tugas dengan bersih, cekap dan amanah, setia dengan penuh minat, disiplin dan dedikasi, (2) sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan negara dan tidak mementingkan diri sendiri, (3) sentiasa berusaha meninggikan imej perkhidmatan organisasi, dan (4) membuat pertimbangan yang teliti dan adil sebelum membuat keputusan dan tegas dalam melaksanakan tugas (Mahdi Shuid dan rakan-rakan, 2010).
  

________________________________________________________________________________
LIM WAN THING

Bidang pendidikan semakin berkembang maju seiring dengan perkembangan teknologi pada hari ini selari dengan Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran negara. Oleh itu, mutu pendidikan yang cemerlang banyak bergantung kepada produktiviti yang tinggi di kalangan ahli-ahli pendidik terutamanya para guru yang menyumbangkan sebahagian besar daripada pekerjaan di dalam bidang pendidikan.

Dalam era pendidikan ini, sikap guru juga merupakan isu yang selalu dibincangkan  kerana ia telah memberi kesan secara langsung terhadap pencapaian guru dalam bidang profesional serta kesan kepada pencapaian  pelajar. Mengikut ahli psikologi sosial, sikap meliputi 3 komponen yang utama iaitu afektif, perilaku dan kognisi (Rajecki, 1989). Komponen afektif merangkumi emosi positif dan negatif individu terhadap sesuatu iaitu bagaimana perasaan seseorang terhadapnya. Komponen perilaku pula terdiri daripada kecenderungan atau bertujuan untuk bertindak pada tingkah laku tertentu yang berkait dengan sikap kita. Manakala komponen kognisi merujuk kepada kepercayaan dan pemikiran yang dipegang oleh seseorang terhadap sesuatu objek. Ketiga-tiga komponen dalam sikap ini saling berhubungan dan seterusnya berfungsi dalam pembentukan dan pemantapan sikap individu.

Guru juga didefinisikan sebagai sumber daya manusia yang mempunyai peranan yang cukup penting dalam proses pendidikan. Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses transformasi sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat. 

Secara umumnya, guru Malaysia perlu mempunyai sikap dan akauntabiliti  terhadap pelajar, ibu bapa dan diri sendiri. Seseorang guru harus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dalam bilik darjah. Ini termasuklah menepati masa mengikut jadual waktu serta menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan kaedah dan teknik yang berkesan. Guru juga harus bersikap adil terhadap setiap pelajar tanpa menira faktor-faktor jasmani, mental. emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama.  Selain itu, guru harus sentiasa mengawal emosi sendiri supaya dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan melalui pembacaan yang luas. 

Namun begitu, isu-isu berkaitan dengan sikap guru tetap sering berlaku dalam bidang pendidikan dan perlu dibincangkan. Ini termasuklah  sikap guru yang pilih kasih, sikap pengajaran guru yang autokratik dan tidak kreatif .Selain itu, sikap guru akibat daripada aspek bebanan dan tekanan kerja juga akan dibincangkan secara teperinci. 
                                                                                                                                                                   
 TAI HUI SHAN


Pendidikan matematik adalah satu bidang ilmu yang melatih minda supaya berfikir secara mantik dan bersistem dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Sifat matematik secara tabiinya menggalakkan pembelajaran yang bermakna dan mencabar pemikiran. Dua aktiviti penting dalam pendidikan ialah pengajaran dan pembelajaran (Dewey, 1938). Pengajaran merujuk aktiviti membimbing pelajar membina skim ilmu yang berfaedah, manakala pembelajaran pula merujuk kepada proses pembinaan skim ilmu yang tertentu. Antara lain, pengajaran matematik melibatkan pengetahuan, pengalaman, konsepsi, persepsi, sikap, falsafah hidup dan kepercayaan guru terhadap matematik dan pengajaran matematik. Menurut Thompson (1982), pengajaran matematik membabitkan konsepsi guru tentang matematik dan pengajaran matematik, manakala kaedah mengajar matematik yang sesuai memainkan peranan yang penting dalam keberkesanan pengajaran seorang guru matematik.

Oleh itu, sikap seorang guru matematik memainkan peranan yang penting dalam memdidik pelajarnya. Mengikut ahli psikologi sosial, sikap meliputi 3 komponen yang utama iaitu afektif, perilaku dan kognisi (Rajecki, 1989). Komponen afektif merangkumi emosi positif dan negatif individu terhadap sesuatu iaitu bagaimana perasaan seseorang terhadapnya. Komponen perilaku pula terdiri daripada kecenderungan atau bertujuan untuk bertindak pada tingkah laku tertentu yang berkait dengan sikap kita. Manakala komponen kognisi merujuk kepada kepercayaan dan pemikiran yang dipegang oleh seseorang terhadap sesuatu objek. Ketiga-tiga komponen dalam sikap ini saling berhubungan dan seterusnya berfungsi dalam pembentukan dan pemantapan sikap individu. Sikap adalah sesuatu yang berbentuk dalaman dan sukar untuk difahami. Ia terletak di dalam sanubari kita dan bukan semua sikap dapat dizahirkan secara terang dalam realiti kehidupan. Itulah sikap yang sering membuat manusia tertanya-tanya dan tercari-cari. Melalui sikap, manusia boleh mempelajari pelbagai ilmu baru untuk mempertingkatkan jati diri. Itulah sikap yang sebenar yang perlu ada dalam diri manusia.

Guru merupakan individu yang telah menjalani latihan dan kursus di dalam bidang pendidikan selama beberapa tahun dan selepas itu mereka akan berkhidmat dengan menyampaikan ilmu pengetahuan mereka kepada para pelajarnya. Seperti yang kita sudah sedia maklum, bahawa guru merupakan “ibu bapa kedua” kepada para pelajarnya kerana kebanyakan dari masa yang dihabiskan oleh para pelajar adalah berada di sekolah. Setiap guru memikul satu tanggungjawab yang besar, kerana para pelajar mereka adalah tanggungjawab daripada ibu bapa mereka. Setiap apa yang disampaikan oleh guru akan menimbulkan kesan terhadap pelajar. Jika guru tersebut dapat melaksanakan tugasnya dengan baik dan cemerlang, maka pengaruh positif itu dapat meresap ke dalam diri pelajar, jika guru melaksanakan tuganya bagai melepaskan batuk di tangga, maka sebaliknya yang akan berlaku.

Kualiti pencapaian akademik pelajar sangat bergantung kepada pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Memperkasakan pelajar dalam menguasai ilmu matematik dapat dicapai melalui pengajaran yang berkesan dan efektif. Walaubagaimanapun, realiti guru sekarang ini indah khabar dari rupa. Kebanyakan daripada mereka masih lagi lemah dan kurang berkualiti untuk menjadi seorang pendidik dalam melaksanakan tugas mereka dengan baik dan sistematik. Selain itu, kebanyakan daripada mereka juga bersikap negatif. Mereka kurang bermotivasi untuk mengajar, tidak membuat persediaan sebelum mengajar, pengajaran berasaskan tradisional, kurang mahir dalam kemahiran ICT dan komunikasi tidak berkesan.

_______________________________________________________________________
SHIM VUI CHUN

Peranan sistem pendidikan sangat penting dalam pembangunan negara. Tujuan utama pendidikan ialah berusaha menuju ke arah pembentukan masyarakat yang berilmu pengetahuan, bertanggungjawab, berkebolehan, berakhlak dan bermoral. Dalam sistem pendidikan negara kita, penumpuan terhadap dasar pendidikan untuk melahirkan insan yang bermulia, menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani adalah amat diambil berat dan diutamakan selaras dengan apa yang tersurat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Bagi berjaya mencapai hasrat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, elemen akhlak, moral dan nilai-nilai murni merupakan salah satu unsur yang penting bagi menjayakan hasrat ini. Hal ini jelas termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan:

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”(Akta Pendidikam,1996)


Sekolah merupakan agen atau institusi soaial yang memainkan peranan yang penting dalam menjayakan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini tercapai. Hal ini demikian kerana sekolah merupakan satu tempat yang mana membolehkan masyarakat menuntut ilmu pengetahuan dan membentuk akhlak dan bermoral. Guru pula merupakan insan yang memainkan peranan yang penting dan mempunyai pengaruh yang besar di dalam membentuk generasi baru yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan. Oleh itu, sebagai seorang guru, guru perlu memiliki pelbagai pengetahuan dan kemahiran dalam pengajaran dan melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan terus dan ikhlas.


Dalam Akta Pendidikan (1996), guru didefinisikan sebagai seorang yang mengajar murid di sesuatu institusi pendidikan. Menurut kamus dewan edisi keempat, guru bermaksud orang yang mengajar, pendidik, pengajar atau pengasuh. Menurut Mok Soon Sang (1990) pula, guru merupakan seorang ahli masyarakat yang mempunyai perhubungan sosial yang saling berkait rapat dengan masyarakat berstatus. Guru juga boleh dikatakan sebagai “ibu bapa kedua” kepada para pelajar, kerana kebanyakan dari masa seharian pelajar adalah dalam sekolah dan bersama dengan gurunya. Setiap guru memikul tanggungjawab yang besar dan setiap apa yang disampaikan atau dilakukan oleh guru akan memberi kesan atau mempengaruhi pelajar. Jika seorang guru melaksanakan tugasnya dengan baik dan mempunyai sikap yang baik, maka pengaruh positif itu akan meresap ke dalam diri pelajar juga dan sebaliknya pengarih negetif akan terbentuk dalam diri pelajar sekiranya guru mempunyai sikap yang negetif dalam pengajaran. Hal ini demikian kerana guru meupakan model dan aspirasi kepada para pelajar.


Guru haruslah mengingati bahawa mereka memikul tugas dan tanggungjawab besar kepada masyarakat dan berperanan penting dalam melahirkan generasi pemimpin yang bakal menentukan masa depan negara. Oleh itu, sebagai seorang guru, penampilan diri dan sikap serta sahsiah yang positif dalam pengajaran adalah amat penting. Proses pengajaran dan pembelajaran akan berjalan dengan lancar dan berkesan apabila pelajar menghormati gurunya krana dengan adanya perasaan hormat dalam diri pelajar terhadap gurunya, pelajar akan lebih mematuhi pada arahan guru dan tidak memberi banyak masalah semasa guru mengajar. Selain itu, sebaiknya adalah guru menguasai dan sentiasa berusaha dalam meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan pelajar agar lebih mudah dalam bergaul dan mendekati situasi pelajar. Secara tidak langsungnya, murisdakan berasa diri mereka dikasihi, dihargai dan dimuliakan (Abdullah Hasan, 1999).


Walau bagaimanapun, sungguh duka citanya, dalam dunia pendidikan kini, kita masih sering mendengar isu-isu negatif yang berkaitan dengan sikap guru. Antara isu berkaitan dengan sikap guru yang sering kita dengar adalah isu berkaitan dengan sikap guru yang malas, tidak bertanggungjawab, pilih kasih, guru bersifat demoralizing dan autokrasi, emosi guru yang tidak seimbang dan sebagainya. Secara langsung dan tidak langsungnya, sikap guru ini akan memberi kesan dan menpengaruhi pelajar dalam pembelajaran mahupun dalam pembentukkan sahsiah dan akhlak mulia pelajar.



 

No comments:

Post a Comment