• Ibu kesal sikap guru 
  • Wai Sin melakonkan semula bagaimana anaknya ditampar sambil diperhatikan Arul (kanan) dan Kee Chin.
SEREMBAN – Seorang ibu mendakwa anaknya yang merupakan pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah menengah, di sini ditampar seorang guru tanpa alasan munasabah.

Dia mendakwa kejadian itu berlaku sebaik sahaja anaknya itu memberi penjelasan kepada seorang guru mengapa dia duduk walaupun sebelum itu dia dan pelajar lain diarah berdiri oleh guru mata pelajaran geografi kelasnya.

Menceritakan kejadian, ibu pelajar berkenaan, Tai Wai Sin, 42, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada seorang guru kaunseling sekolah berkenaan kira-kira jam 11 pagi yang memberitahu anaknya ditampar.

“Saya diberitahu oleh anak saya kira-kira jam 8.45 pagi seorang guru wanita yang mengajar mata pelajaran geografi telah masuk ke dalam kelas bagi memulakan sesi pembelajaran.

“Ketika masuk ke dalam kelas, dia meminta semua pelajar berdiri dan kemudiannya dia keluar untuk pergi ke tandas tanpa meminta pelajar duduk,” katanya ketika ditemui hadir di pejabat Adun Nilai, J Arul Kumar. Hadir sama, Adun Bukit Kepayang, Cha Kee Chin.

Wai Sin berkata, disebabkan kaki anaknya sakit akibat cedera bermain bola sepak, dia duduk sementara menunggu guru terbabit masuk ke dalam kelas.

Bagaimanapun katanya, sebaik sahaja guru masuk,  dia menghubungi seorang guru lain apabila melihat anaknya bersama beberapa pelajar lain sedang duduk.

“Selepas beberapa minit datang seorang guru lelaki memanggilnya keluar dari kelas dan bertanya apa yang berlaku.

“Sebelum itu anak saya nampak guru perempuan itu menangis. Anak saya kurang fasih berbahasa Melayu, jadi dia menerangkan kepada guru lelaki berkenaan sambil menggunakan isyarat tangan,” katanya.

Namun, secara tiba-tiba guru lelaki terbabit tiba-tiba naik marah lalu menampar pipi anaknya sebelum bertindak memukulnya pada bahagian kepala.

Wai Sin berkata, guru terbabit berterusan mahu memukul anaknya namun dihalang oleh guru wanita berkenaan.

“Anak saya terus mendapatkan guru kaunseling dan memaklumkan kejadian yang berlaku sebelum guru berkenaan menghubungi saya.

“Suami saya telah datang ke sekolah untuk mendapatkan kepastian mengenai kejadian yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, dia kecewa apabila guru yang menampar anaknya menafikan kejadian itu termasuk guru wanita terbabit yang cuba menyembunyikan kejadian sebenar.

“Dia beritahu anak saya pula membuat cerita. Saya tidak sangka seorang guru boleh berbohong seperti itu.

“Jika anak saya duduk tanpa kebenaran sekalipun, ia bukan satu kesalahan besar,” katanya.

Selain itu kata Wai Sin, dia mahukan keadilan kerana kejadian sama pernah berlaku kepada anaknya yang lain di sekolah berkenaan.

“Jika betul anak saya nakal atau buat salah, dia boleh dikenakan denda, tetapi tidak perlu sampai menampar atau memukulnya,” katanya yang turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu.